Seorang wanita Arab Saudi di Riyadh telah dihukum pancung selepas
didapati bersalah mengamalkan sihir yang dilarang keras amalannya
dinegara itu, kata kementerian dalam negeri.

Wanita
itu yang dikenali sebagai Amina binti Abdul Halim Nassar menerima
hukuman pancung itu di wilayah utara, Jawf, kerana mempraktikkan ilmu
ghaib dan sihir, kata kementerian itu dalam satu kenyataan yang
disiarkan agensi berita SPA.

Tidak dapat dinyatakan dengan tepat
berapa jumlah wanita yang telah menerima hukuman seperti ini di negara
gurun itu kerana hukuman pancung adalah satu kebiasaan di negara Arab.
Oktober lalu, seorang wanita dipancung kerana membunuh suaminya dengan
membakar rumahnya. Ghazala bint Nasser al-Balawi dijatuhi hukuman mati
selepas didapati bersalah membunuh Ali al-Shehri dengan menyiramkan
petrol dan membakar rumahnya, setelah mengunci suaminya dalam bangunan
tersebut ketika suaminya sedang tidur.

Pelaksanaan hukuman
pancung keatas wanita yang dikatakan mengamalkan sihir itu membuatkan
jumlah orang yang menerima hukuman seumpama ini di Arab Saudi tahun ini
menjadi sekurang-kurangnya 73 orang.

Amnesti Antarabangsa
mengecam pemancungan itu sebagai “sungguh mengerikan” dan mendesak Arab
Saudi supaya menghentikan amalan tersebut. “Tuduhan` ilmu hitam dan
sihir `tidak ditetapkan sebagai kejahatan di Arab saudi,” kata Philip
Luther, pengarah Amnesti Antarabangsa untuk kawasan Timur Tengah dan
Afrika Utara.

Pada 11 Oktober, pejabat hak asasi manusia PBB
mendedahkan keprihatinan kepada Arab Saudi dalam pelaksanaan hukuman
pancung keatas sepuluh orang, termasuk lapan warga Bangladesh.
Organisasi ini mendesak Saudi membekukan hukuman mati.Kelapan orang
Bangladesh itu dipancung kerana mencuri barang dari sebuah gudang dan
membunuh penjaga gudang yang berbangsa Mesir. Pada hari yang sama, dua
warga Arab Saudi juga dipancung.

Amnesti Antarabangsa yang
berpusat di London itu berkata, Arab Saudi adalah salah satu daripada
sejumlah kecil negara yang menentang resolusi Perhimpunan Agung PBB
Disember lalu yang mendesak moratorium hukuman mati di seluruh dunia.

Menurut
Amnesti Antarabangsa, Arab Saudi telah menghukum mati 27 orang pada
2010, sementara tahun sebelumnya 67 orang menerima pelaksanaan hukuman
pancung.

Di Arab Saudi, kesalahan rogol, pembunuhan, murtad, rompakan bersenjata dan penyeludupan dadah boleh dikenakan hukuman mati.